Monday, November 14, 2016

Aruna dan Lidahnya oleh Laksmi Pamuntjak


Saya beli buku ini di Aksara (mall?) Jakarta bulan Mac lepas. Entah bagaimana saya terlepas pandang buku ini dan hanya sedar semalam (awal pagi 20 sept 2016), bila saya tidak dapat tidur sebab flight dari KK ke Kuching sampai pukul 11.45pm, dan tiba di rumah selepas 12.30am. Setelah berkemas, (sebab bau tempoyak dan bambangan terlalu kuat dalam beg dan perlu dibereskan sebelum tidur). Oleh itu, jam tidur saya tertunda, menyebabkan saya tidak dapat tidur. 

Jadi, awal pagi tadi saya berusaha membaca pembukaan buku ini dan juga bahagian 1. Wah! Kau tahu perasaan berdebar-debar menerima hadiah yang balutannya kemas cantik? Pembacaan awal buku ini memberikan sensasi begitu. 

Begini permulaan ceritanya; Menarik kan? 


Petang 21 sept saya usai membaca buku ini. Perasaan saya berbaur. Sedih dan melankolik. Kalau saya dalam cerita ini, saya pasti jatuh hati kepada Farish juga. 

Ini adalah buku yang berani dan terbuka membangkitkan isu-isu negara dan perkaitannya dengan pola berfikir masyarakat, budaya (cth; salah guna kuasa pemerintah, korupsi, birokrasi) 

Watak-watak utama dalam cerita menarik; perwatakan, perkembangan watak dalam plot tidak statik. Dalam setiap bab, sisi lain setiap watak di tunjukkan. Seperti kita menjalin hubungan dengan individu, proses mengenal itu jadi intimate dan menarik. 

Dan ini yang paling saya suka dalam buku ini, pertalian antara bawah sedar si watak utama dan perkembangan plot. Hampir semua bab bermula dengan mimpi, kemudian di bawa ke realiti. Mimpi-realiti itu seakan-akan berkait, tapi tidak secara dipaksakan, pembaca perlu mencari titik kesamaan atau perkaitannya. 

Dan sebab ini buku berkaitan kulineri, setiap bab bercerita tentang makanan di pelbagai tempat di Indonesia. 

Buku ini sepatutnya jadi buku yang mudah disukai, sebab kita bangsa yang sukakan makanan, melebihi dari banyak perkara atau hal lain. Henry David Thoreau menulis tentang cara hidup minimalis beliau dalam Walden berkaitan makanan dan budaya makan. Amalan seperti Thoreau itu, seperti jauh panggang dari api dalam kalangan masyarakat kita yang makan tidak ingat dunia. Kalau dilihat pada statistik berkaitan obesiti di Asia tenggara, Malaysia mengungguli. Negara kita, negara obes. 

Perlu selektif dalam memilih makanan. Perlu benar-benar menikmati; mengunyah, merasakan dan menelan makanan dengan semua pancaindera yang ada. Supaya makan jadi sesuatu yang bererti, bukan setakat memenuhkan nafsu. mungkin ini sebenarnya intipati buku ini. 

Dan dalam buku ini, saya jatuh hati dengan Farish. Setelah saya jatuh hati dengan Aruna. Saya mahu jadi Aruna. Lebih kurang begitulah kesimpulan saya setelah habis membaca buku ini. 

Ahhh.. Shallow gila kan saya? 

Itu saya. Buku ini tidak. Buku ini sarat dengan pandangan terhadap masyarakat berbilang bangsa, permasalahan sejagat, kerencaman pola berfikir yang menentukan tindakan dan akibat darinya. Kekayaan negara Indonesia (etnik, sejarah, makanan dan pulau-pulaunya). 

Tahun depan, saya perlu ke Palembang, kalau bukan untuk mencari seorang Farish, sekurang-kurangnya dapat mencicip pempek terenak sedunia di sana.

10/10



No comments: